Larangan Mengkafirkan Ahli Kiblat (Ahlul Kiblat)
Gejala takfiri yang semakin membarah di kalangan orang Islam sepertinya sudah sampai ke tahap yang menggusarkan dan membimbangkan. Namun bagaimana untuk keluar dari kemelut yang sepertinya tiada kesudahan ini? Caranya adalah meningkatkan ilmu dan pengetahuan mengenai larangan mengkafirkan SESIAPAPUN dari golongan ahlul kiblat.
Saya mulakan artikel ini dengan mengutip petikan dari Aqidah At Tohawiyah yang masyhur sebagai pegangan akidah dalam agama Islam:
ولا ننزل أحدا منهم جنة ولا نارا، ولا نشهد عليهم بكفر ولا بشرك ولا بنفاق، ما لم يظهر منهم شيء من ذلك، ونذر سرائرهم إلى الله تعالى
“Kami tidak menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka, kami juga tidak menyatakan seseorang itu sebagai orang kafir, musyrik, atau munafik selama tidak kelihatan secara lahirnya mereka seperti itu, kerana itu kami menyerahkan urusan hati kepada Allah Ta’ala.”
Definisi Ahlul Kiblat
Jadi, apa yang dimaksudkan dengan ahlul kiblat tersebut? Ahlul Kiblat adalah orang Islam yakni Muslim. Apa pula makna Islam? Islam itu terdiri atas 5 perkara. Bersyahadah, solat 5 waktu, berpuasa, berzakat, dan menunaikan haji sekiranya mampu. Dalilnya, Hadith kedua dalam Hadith 40 Imam An Nawawi.
وَقَالَ: يَا مُحَمَّد أَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِسْلاَمِ، فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : اْلإِسِلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا
رَسُوْلُ اللهِ وَتُقِيْمَ الصَّلاَةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكاَةَ وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً قَالَ : صَدَقْتَ
Dan (Jibril) berkata: “ Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam ?”, maka bersabdalah Rasulullah saw: “ Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada ilah (tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan shalat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu “, kemudian dia(Jibril) berkata: “Anda Benar “
Itu adalah definisi Islam. Apa pula definisi Muslimiin atau Ahlul Kiblat yang menjadi tajuk besar artikel ini? Berikut adalah definisi Ahlul Kiblat
مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ فَلَا تُخْفِرُوا اللَّهَ فِي ذِمَّتِهِ
“Siapa yang melaksanakan solat seperti solatnya kami, menghadap kiblat kami, dan memakan sembelihan kami, maka dia itu adalah Muslim yang menjadi tanggungan Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah engkau membatalkan jaminan Allah padanya.” (Riwayat al-Bukhari)
Apakah tiada terkecuali atau dilarang sepenuhnya tahzir
(Tahdzir artinya memperingatkan umat dari penyimpangan individu atau sesuatu golongan)
Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RahimahuLlahu Ta’ala membicara pada perkara larangan sesama Islam saling mengkafirkan sesama sendiri dengan mengatakan ;
“Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijma’ ulama’ yakni larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau ia melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad ﷺ, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau Hadith Mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh para ulama’.”
Maknanya diperbolehkan tahzir dan menzahirkan penentangan kepada golongan yang TELAH JELAS dan SAMPAI AKAN DALIL mengenai kekufurannya. Imam al-Thahawi membicarakan tentang segolongan ahli kiblat yang seperti berikut:
ونسمى أهل قبلتنا مسلمين مؤمنين، ما داموا بما جاء به النبي صلى الله عليه وسلم معترفين، وله بكل ما قاله وأخبر مصدقين
“Dan kita namakan Ahli Kiblat kita itu sebagai kaum Muslimin lagi Mukminin selama mereka mengiktiraf apa yang dibawa oleh Nabi ﷺ serta membenarkan seluruh apa yang diucapkannya serta dikhabarkannya.”
Ahlul Kiblat yang TELAH JELAS dan SAMPAI AKAN DALIL mengenai kekufurannya terkeluar dari golongan Muslimin lagi Mukminin. Namun barang diingat jaminan Allah terhadap mereka masih terpakai, selama mana mereka masih beribadat seperti kita, menghadap kiblat yang sama dengan kita.
Ancaman terhadap orang yang mudah menghukum dan memvonis ahlul kiblat
Akhir kalam, saya ingin mengingatkan diri saya dan semua yang membaca tulisan saya ini akan kata-kata Imam Al Ghazali, seorang ulama besar kurun ke 5 hijrah. Yang tiada ulama sezamannya (kurun ke 5) mengingkari akan taraf Mujaddid (Pembaharu Agama) beliau.
Imam al-Ghazali rahimahullah juga telah mengingatkan kita semua dalam kitabnya “Bidayah al-Hidayah” berhubung perkara ini:
ولا تقطع بشهادتك على أحد من أهل القبلة بشرك أو كفر أو نفاق؛ فإن المطلع على السرائر هو الله تعالى، فلا تدخل بين العباد وبين الله تعالى، واعلم أنك يوم القيامة لا يقال لك: لِم لمَ تلعن فلانا، ولم سكت عنه؟ بل لو لم تعلن ابليس طول عمرك، ولم تشغل لسانك بذكره لم تسأل عنه ولم تطالب به يوم القيامة. وإذا لعنت أحدا من خلق الله تعالى طولبت به…
“Janganlah engkau menuduh syirik, kafir atau munafik kepada seseorang ahli kiblat (orang Islam) kerana yang mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati manusia hanyalah Allah Ta’ala. Jangan pula engkau ikut campur dalam urusan hamba-hamba Allah dengan Allah Ta’ala. Ketahuilah, bahawa pada hari kiamat kelak engkau tidak akan ditanya; Mengapa engkau tidak mahu mengutuk si fulan sekian-sekian? Mengapa engkau diam sahaja tentang dia? Bahkan seandainya engkau tidak pernah mengutuk Iblis pun sepanjang hidupmu, dan tidak menyebut tentangnya sekalipun, engkau tidak akan ditanya dan tidak akan dituntut oleh Allah nanti di hari kiamat. Tetapi jika engkau pernah mengutuk seseorang makhluk Allah, kelak kau akan dituntut (pertanggungjawabannya oleh Allah).”
والله أعلمُ ﺑﺎ ﻟﺼﻮﺍﺏ