Al Kahfi Manual Akhir Zaman

Al Kahfi Manual Akhir Zaman

Rasulullah pernah bersabda tentang surah Al Kahfi dan fadhilatnya dalam menangkis fitnah Dajjal. Ia juga adalah manual akhir zaman yang telah Allah berikan pada kita melalui Al Quran.

Ada 4 cerita dalam Surah Al Kahfi.

1. Cerita Ashabul Kahfi

Cerita Ashabul Kahfi atau sahabat gua ini adalah kisah golongan muda yang sayangkan imannya pada Allah dan melarikan diri mereka ke dalam Gua kerana umat pada masa itu rosak dan menjadi kafir. Mereka risau bahawa mereka akan ikut rosak dan menjadi kafir lalu mereka pergi mengasingkan diri mereka di Gua.

Hikmah cerita ini adalah Allah memberi jalan kepada hambanya yang bertakwa, yang takutkan Allah dan percayakan hari kebangkitan semula. Yang hidup di kalangan orang-orang fasik, kafir dan rosak akhlaknya. Jalannya adalah dengan mengasingkan diri dan mempertahankan akidah mereka. Mengenggam pegangan agama umpama mengenggam bara api. Dan bergembiralah kerana Allah menjanjikan keselamatan dan bantuan

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna” Al Kahfi:16

2. Cerita Pemilik Kebun

Cerita pemilik kebun ini adalah ujian untuk orang-orang yang Allah berikan padanya nikmat berupa rezeki yang tak pernah putus. Pemilik kebun tersebut Allah berikan padanya 2 taman indah.

Namun disebabkan sombongnya dan lupa kepada Allah, maka Allah menghancurkan kebun-kebun miliknya.

Hikmah cerita ini adalah orang-orang yang Allah berikan padanya nikmat berupa rezeki, hendaklah mereka mensyukurinya dan selalu ingat pada Allah, membantu orang-orang miskin dan yang berjuang di jalan Allah, menyediakan pada rezekinya bahagian-bahagian dan hak yang termaklum untuk sedekah, zakat dan wakaf.

Andai tidak diikut nescaya Allah akan hancurkan segala miliknya dan jadilah dia seorang yang menyesal seumur hidup.

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan” Al Kahfi:46

3. Cerita Nabi Musa dan Nabi Khidir

Cerita ini adalah ujian untuk orang yang Allah berikan padanya nikmat berupa ilmu yang luas. Nabi Musa telah Allah kurniakan ilmu yang bermacam2. Satu hari beliau bertanya kepada Allah sekiranya adakah lagi orang yang lebih berilmu daripadanya. Allah pun menunjukkan bahawa ada orang yang lebih berilmu daripadanya yang duduk di persimpangan antara dua lautan.

Nabi Musa pun mengikuti orang tersebut dan banyak kali mempersoalkan tindakan Nabi Khidir. Rupanya apa yang dipersoalkan itu sia-sia kerana tidaklah seorang yang lebih tinggi ilmunya perlu untuk menerangkan setiap satu tindakannya. Dan orang yang berilmu haruslah sentiasa tawaduk dan tidak mempersoalkan tindakan orang lain, sering merasakan bahawa ilmunya tiada apa-apa berbanding dengan Ilmu Allah. Takut2 mereka membenci apa yang tidak diketahuinya.

Dan pengajaran kepada pencari-pencari ilmu, bersabarlah dalam menuntut ilmu dan janganlah sekali-kali biadab dengan guru dan mempersoalkan tindakan-tindakannya.

Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”

4. Cerita tentang Dzulkarnain

Cerita ini adalah ujian untuk orang yang Allah beri padanya nikmat berupa kekuasaan. Dzulkarnain memperolehi nikmat Allah berupa kekuasaan. Kekuasaannya meliputi 2/3 bumi pada ketika itu.

Orang-orang yang Allah telah berikan nikmat berupa kekuasaan memegang amanah untuk melimpahkan kasih sayang dan keadilan di muka bumi ini. Dzulqarnain adalah seorang raja yang sering berjalan jauh semata-mata untuk menyebarkan keadilan di muka bumi. Bahkan beliau berjaya mengekang Yajuj dan Majuj dengan membina tembok.

Beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan dari orang tempatan. Beliau hanya ingin membantu agar yajuj dan majuj ini tidak mampu memudaratkan mereka.

“Dia menjawab: “Yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.” Al Kahfi:95

Penutup

Penulisan ini adalah dari pengamatan saya sendiri dan dari tafakur yang mendalam untuk mendalami tanda-tanda. Setiap cerita dalam surah al kahfi itu ada kiasan kiasan mendalam untuk orang yang ingin memahami seperti contoh cerita Nabi Musa dan Nabi Khidir naik sebuah kapal dan Nabi Khidir merosakkan kapal tersebut kerana satu masa nanti seorang Raja akan mengambil kesemua kapal-kapal tersebut. Tidaklah zalim raja tersebut kerana apa yang diceritakan itu adalah perbuatan Allah jua.

Semoga dengan tulisan saya ini mampu membuka hati tuan-tuan untuk memahami tanda-tanda yang Allah telah berikan pada tuan-tuan. Sesungguhnya sekiranya ada yang baik dalam penulisan saya ini, ia adalah dari Allah jua. Dan sekiranya ada yang tak betul pada penulisan saya ini, ia adalah dari kebodohan dan kejahilan saya sendiri dan dari Allah jualah peringatan tersebut agar tidak lah saya merasa bahawa pengetahuan saya betul semuanya.

Do you like this post?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *